ISA ke atas pemimpin HINDRAF
Dari blog Publius Melayu
Lima pemimpin Hindu Rights Action Force (HINDRAF) diberkas dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Mereka ialah P. Uthayakumar, M. Manoharan, R. Kenghadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar.
Tindakan yang disokong sebahagian besar rakyat Malaysia ini dianggap bertepatan sekali walaupun dikira agak lewat setelah tercetus beberapa insiden pada minggu-minggu sebelumnya.
Seperti telah diagak, penggunaan ISA ke atas kumpulan lima orang pemimpin HINDRAF ini dengan secepat kilat dipergunakan sepenuhnya oleh pihak pembangkang termasuk penyokong-penyokong mereka yang bertopengkan aktivisme hak asasi manusia dalam pelbagai jelmaan.
Dengan menyorot penahanan di bawah ISA sebagai sesuatu yang sentiasa mencengkam kebebasan rakyat, pembangkang meriah menggunakan tindakan tersebut sebagai peluru baru dalam serangan terhadap negara.
Tidak kira sama ada terdapat undang-undang yang lebih serius menidakkan hak asasi manusia seperti Patriot Act di Amerika Syarikat dan beberapa undang-undang lain termasuk yang masih berkuat kuasa di Britain, pihak pembangkang tidak akan mempertikaikannya. Pada mereka yang sentiasa dilihat sebagai pincang, tidak adil dan keterlaluan ialah apa saja tindakan yang digunakan oleh kerajaan bagi menjamin keselamatan di Malaysia.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home