Siapa lebih rasis?
Hanya disebabkan beberapa patah perkataan, seseorang itu boleh menjadi terkenal dalam sekelip mata.
Jika tidak kerana apa yang didakwa oleh seorang pemberita (bukan wartawan) Cina yang melaporkan untuk sebuah akhbar Cina mungkin tidak seorang pun di luar Pulau Pinang akan mengenali Ahmad Ismail, Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera.
Kini dia umpama seorang selebriti. Tidak kiralah samada untuk sebab yang baik atau kurang baik nama Ahmad kini sudah dikenali – good publicity or bad publicity but publicity nevertheless.
Dalam keghairahan isu ini beberapa persoalan ditumbulkan...
(1) Benarkah Ahmad mengeluarkan kata-kata sepertimana yang didakwa oleh pemberita Cina itu? Mengapa tidak disiasat juga pemberita Cina itu?
(2) Tidakkah pemberita Cina itu mempunyai konflik kepentingan semasa mensensasikan berita berkenaan? Dia masih baru dalam profesion ini dan berbangsa Cina, justru kecenderungannya mudah sangatlah dibaca...
(3) Sekiranya benar kata-kata Ahmad itu berbaur perkauman, bagaimanapula dengan serangan balas oleh Gerakan yang juga berbaur perkauman? Serangan mencelah oleh MCA dan DAP pula bagaimana? Tidakkah semua parti politik ini mempunyai kepentingan sama seperti konflik yang dialami oleh pemberita Cina itu?
(4) Kenapakah Polis tidak mengambil tindakan segera dan tegas sekiranya kata-kata Ahmad berupa hasutan atau menghina, sedangkan kita semua tahu polis sentiasa memantau setiap ceramah secara peribadi semasa sesuatu pilihanraya atau pilihanraya kecil?
(5) Mengapakah Gerakan sudah berani mengugut hendak meninggalkan Barisan Nasional hanya kerana isu ini? Sekiranya Gerakan begitu kecewa dengan tindak tanduk Ahmad termasuklah keputusan sokongan padu kesemua 13 ketua Umno bahagian di Pulau Pinang kepada Ahmad, mengapa tidak terus sahaja tinggalkan Barisan daripada bertindak macam budak-budak – putuskan hubungan dengan UMNO Bukit Bendera, kemudian putuskan hubungan dengan UMNO Pulau Pinang...apa maksud semua ini?
Sekiranya sudah kecewa mengapa tidak terus keluar meninggalkan Barisan Nasional? Sekiranya mereka seseorang yang berakal, tidak perlu mengugut, terus keluar dan persetankan....itupun kalau berupaya...
(6) Kalau benar sudah muak dengan Barisan Nasional maka mengapa masih hanya putuskan hubungan dengan UMNO Pulau Pinang sedangkan masih ingin berada di bawah naungan Barisan Nasional di peringkat pusat?
Apakah dengan meninggalkan Barisan Nasional pusat maka beberapa ahli parlimen Gerakan akan kehilangan jawatan eksekutif? Jawatan-jawatan seperti Timbalan Menteri Penerangan (kebetulan Ketua Wanita Gerakan yang mahukan Ahmad ditahan di bawah ISA) dan jawatan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan beberapa lagi jawatan yang lain. Bukankah majoriti pengundi di Parlimen Gerik itu Melayu?
Mudah sangat mengambil keputusan untuk hanya berkisar di Pulau Pinang kerana sudah tiada jawatan untuk Gerakan kerana dihalau keluar oleh masyarakat Cina yang sudah muak dengan politik Gerakan.
(7) Benarkah Gerakan bukan parti perkauman Cina? Sekiranya begitu mengapakah hanya pada Ahad 7 Sept 2008 barulah muncul seorang bukan Cina (berbangsa India) dipilih sebagai Pengerusi Gerakan Selangor? Berapa sangatkah bukan Cina mendapat tempat dalam Gerakan sejak ianya ditubuhkan pada 1969?
(8) Kita pernah dengar Gerakan melaungkan Bangsa Malaysia sebelum ini. Namun apakah mereka faham maksud dan intipati ungkapan itu. Sekurang-kurangnya tunjuklah teladan yang paling baik dengan (a) membuka pintu kepada lebih ramai orang bukan Cina untuk dilantik dan dipilih dalam kepimpinan parti dan (b) mulakan gerakan memansuhkan sekolah Cina yang menjadi satu daripada sebab utama mengapa wawasan Bangsa Malaysia tidak akan berjaya.
(9) Bolehkah Gerakan, dengan tiada lagi nama-nama hebat dalam barisan perjuangannya terus hidup atau berkubur setelah meninggalkan Barisan Nasional? Apabila seorang kepala parti itu ditolak oleh rakyat di kerusi parlimen maka, bisanya sebagai seorang pemimpin boleh dikatakan sudah tumpul.
Lihat sahajalah nasib seorang bekas menteri yang berbangsa India. Apakah orang peduli apa yang keluar daripada mulutnya termasuk daripada sebangsanya?
Sekiranya Gerakan dan parti-parti lain boleh melakukan semua ini, mungkin tindakan tegas terhadap Ahmad boleh diambil kerana dikatakan dan didakwa bersifat perkauman.
Sekiranya mereka tidak boleh melakukan apa yang dinyatakan di sini, maka lebih baik duduk diam sahaja. Atau cerminkan diri dan bertanya "apakah aku pun memelihara kepentingan kaum aku juga, sepertimana mereka?"...
Pendek kata, siapakah yang lebih bersifat rasis daripada yang dituduh rasis?
Oleh Zukri Valenteno
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home