Friday, December 5, 2008

PEMBENTUKAN BANGSA MALAYSIA MELALUI SEKOLAH SATU SISTEM


 

Saranan Datuk Mukhriz Mahathir agar satu sistem pendidikan seragam menggantikan sistem vernakular yang diamalkan sekarang, walaupun mendapat kecaman berbagai pihak berkepentingan, perlu diberi pertimbangan sewajarnya jika semua kaum ikhlas inginkan wujudnya satu bangsa Malaysia yang bersatu-padu di mana polarisasi kaum dapat dihapuskan dan semua kaum dapat bersaing di padang yang lebih rata dan system meritokrasi dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Ini kerana setelah hampir 180 tahun sejak sekolah Inggeris, sekolah Cina dan sekolah Tamil pertama diwujudkan pada 1816 diikuti 40 tahun kemudian dengan penubuhan Sekolah Melayu pertama pada 1856, rakyat negara ini begitu terpisah oleh sistem pendidikan yang tidak selaras sejak dari peringkat pra sekolah lagi ekoran cita-cita politik sempit untuk mengekalkan budaya warisan masing-masing hingga sanggup mengorbankan matlamat perpaduan yang lebih utama. Melihat keadaan ini maka tidak hairanlah setelah lebih 200 tahun kedatangan kaum bukan Melayu ke negara ini, masih ramai yang tidak mampu menguasai Bahasa Malaysia dengan baik terutama di kalangan ahli politik yang cuba menjadi jaguh kaum masing masing, jauh berbanding rakan mereka di negara-negara jiran yang jauh lebih berani berkorban demi kepentingan negara tempat tumpah darah mereka - mengatasi kepentingan diri dan puak masing masing.

Seawal kurun ke 15 , semasa lawatan Cheng Ho, sudah ada penduduk keturunan Cina di tengah-tengah kemajuan tamadun Melayu Melaka, tetapi mereka berbahasa Melayu dan tidak mengetahui dialek Cina. Kejayaan mereka mengasimilasikan budaya Melayu dalam kehidupan seharian menyebabkan mereka diterima masyarakat Melayu setempat tanpa sebarang masalah kerana mereka faham akan peribahasa "dimana bumi di pijak, di situ langit di junjung".

Namun begitu, ekoran daripada kemasukan beramai-ramai kaum Cina mulai pertengahan abad ke 19 akibat keperitan hidup dan huru-hara yang berlaku di Selatan Cina dan ditambah pula dengan kepesatan industi bijih timah dan getah, bilangan kaum Cina yang di anggap sebagai Imigran Ekonomi ini bertambah berlipat ganda hinggakan pada 1901 bilangan kaum Cina melebihi bilangan penduduk tempatan. Begitu juga pada 1941, bilangan kaum Cina mencecah hingga 43% berbanding 41% Melayu dan 14% India.

Pada awalnya kaum Cina yang dibawa masuk sebagai tenaga buruh tidak berhasrat untuk menetap di Tanah Melayu. Mereka berhasrat di hantara pulang ke negara asal selepas cukup mencari rezeki. Ini tebukti di mana antara 1911 dan 1921 lebih daripada 1 juta kaum Cina pulang ke negara asal kerana kepercayaan sekiranya mereka mati di luar Cina, roh mereka akan merayau-rayau di tanah asing tanpa pemujaan oleh ahli keluarga. Rekod juga menunjukan antara 1949 hingga 1953, sejumlah $285 juta di hantar pulang oleh immigrant ekonomi tersebut di mana sejumlah $120 juta di hantar pulang ke Cina dan sekitar $160 juta di hantar balik ke India. Namun begitu orang Melayu menerima keadaan ini dengan hati terbuka kerana seperti kata pepatah, " datang tidak berjemput , pergi tidak berhantar."

Bagi memenuhi keperluan pendidikan kaum Cina, sekolah Cina yang pertama telah di bina di Melaka pada 1816 oleh sekumpulan pendakwah daripada Persatuan Pendakwah London. Ini disusuli dengan pelaksanaan kelas-kelas dalam bahasa Cina di sekolah-sekolah free school di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Penubuhan sekolah sekolah venakular Cina oleh persatuan dan orang perseorangan mempunyai matlamat utama untuk memastikan pengekalan warisan budaya dan bahasa mereka semasa berada di tempat asing. Ia juga bagi merealisasikan hasrat menanam pemikiran etnosentrik tanpa mengambil kira kepentingan untuk menyerap budaya bumi tempat di mana mereka berpijak.

Kurikulum sekolah sebelum abad ke 20 berorientasikan pemikiran di Tanah Besar Cina di mana buku teks serta guru-guru didatangkan dari negara itu. Bagi kaum elit Cina, mereka lebih berminat menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris seperti Penang Free School yang di tubuh pada 1816 atau sekolah-sekolah lain seumpama itu yang bertaburan di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh , Taiping, Seremban, Melaka, dan Johor Baru.

Ini jelas dilihat di mana antara antara 1919 hingga 1937 , lebih 50% pelajar di sekolah Inggeris terdiri daripada kaum Cina, sekitar 30% India dan hanya 15 % Melayu. Ini kerana dasar Inggeris yang tidak membenarkan pelajar Melayu ke sekolah Inggeris. Dasar terbuka hanya berlaku pada 1930.

Sekolah Melayu hanya bermula pada 1856, iaitu selepas 40 tahun kaum lain berpeluang ke sekolah; itu pun hanya setakat Darjah 5. Pada 1885 sekatan diturunkan kepada hanya Darjah 4 atas alasan jika peribumi di berikan ilmu mereka akan memberontak seperti yang berlaku di India.

Dasar berat sebelah ini berterusan hingga ke 1961 bila Akta Pelajaran dikuatkuasakan. Peminggiran selama 145 tahun oleh Inggeris di mana pelajar bukan Melayu mendapat pendidikan antara 10 ke 12 tahun berbanding kaum pribumi yang hanya diberikan pendidikan asas antara 4 ke 5 tahun telah mewujudkan jurang yang ketara sejak awal lagi. Ia membolehkan kaum bukan Melayu meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, seperti ke King Edward Medical College, Raffles College atau terus ke luar negara berbanding pribumi yang disekat dengan berbagai bentuk peperiksaan tidak munasabah seperti Peperiksaan ke sekolah Menengah, Junior Middle Certificate, Overseas School Certificate dan sebagainya dengan tujuan memastikan hanya segelintir kumpulan elit Melayu, khususnya dari Malay College yang mendapat peluang belajar.

Dasar terbuka Inggeris terhadap sekolah venakular Cina dan Tamil dilihat tidak mengancam kedudukan politik dan pentadbiran Inggeris. Fenomena separatisme dan polarisasi sengaja diwujudkan oleh Inggeris bagi memastikan orang Melayu terus tinggal di kampong sedangkan kaum bukan Melayu menguasai sektor ekonomi dan pentadbiran peringkat tinggi. Ini telah membuka peluang kepada sekolah venakular Cina untuk terus berkembang dari 56 buah pada 1919 kepada 684 pada 1938.

Ekoran daripada Gerakan Pembaharuan yang di pelopori Liang Chichao dan Kang Yu Wei pada 1898, sekolah-sekolah Cina menjadi medan penyebaran ideologi Koumintang kepada kaum Cina di Tanah Melayu. Gejala penyebaran fahaman komunis dan perkembangan kongsi gelap di kalangan orang Cina telah menjadi ancaman kepada pemerintah Inggeris yang seterusnya mengenakan Ordinan Penguatkuasaan Pendaftaran sekolah-sekolah pada 1920 dan Sistem Bantuan untuk Sekolah-Sekolah Cina pada 1923 bagi mengawal aktiviti, kurikulum dan pentadbiran sekolah Cina. Namun begitu sekolah Cina terus berkembang menjadi 1100 buah menjelang 1947. Berbanding sekolah Cina , sekolah Tamil agak senasib dengan sekolah Melayu di mana mereka diberi pendidikan hanya 4 tahun, kecuali mereka dari keluarga makan gaji dengan kerajaan British yang berpeluang ke sekolah Inggeris dan sekolah-sekolah kelolaan pendakwah Kristian.

Laporan Barnes 1951 merupakan tamparan hebat kepada sekolah Cina dan Tamil. Sekolah venakular Melayu, Cina dan Tamil dicadang di bubar dan digantikan dengan satu jenis sekolah, iaitu sekolah kebangsaan yang menggunakan samada Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar - salah satu dijadikan bahasa kedua. Ini menimbulkan bantahan daripada masyarakat Cina. Ia membawa kepada penubuhan Persatuan Gabungan Guru-Guru Sekolah Cina , Jiaozong pada 1951.

Pada 1954, Gabungan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina ditubuhkan. Kedua-duanya bergabung membentuk Dongjiaozong yang memperjuangkan pendidikan kaum Cina. Ia menjadi penentu kepada kelangsungan kebudayaan Tionghua dalam masyarakat Cina. Ekoran daripada Lapuran Barnes ia membawa kepada penggubalan Ordinan Pelajaran 1952 yang di anggap sebagai hukuman mati terhadap sistem pendidikan Cina. Ini di kusutkan lagi dengan Kertas Putih Pelajaran 1954 yang dikira sebagai menguburkan sistem pendidikan Cina yang telah dibunuh.

Gerakan penentangan terhadap Ordinan Pelajaran 1952 memberi kekuatan baru kepada MCA di bawah Tan Cheng Lock. MCA menyertai Kongres anjuran Dongjiaozong di mana sebuah organisasi baru, Malayan Chinese Association Chinese Education Central Committee (MCACECC) atau Sanda Jigou ditubuhkan, lantaran mewujudkan kerjasama di antara MCA dan Dongjiaozong bagi memperjuangkan pendidikan kaum Cina. Pertemuan pertama kumpulan pendidikan Cina dan UMNO bermula sebelum Pilihanraya 1955 di mana bermula tawar-menawar politik menggunakan pendidikan. Dalam suasana ini Dongjiaozong meminta supaya bahasa Cina dijadikan bahasa kedua selepas Bahasa Melayu tetapi ditolak oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau sebaliknya berjanji mengekalkan sekolah Cina dan kebudayaan Tionghua. Sebagai bangsa yang berpegang pada janji, selepas pilihanraya 1955 Perikatan mengotakan segala yang telah dipersetujui.

Pada 1956 ekoran Laporan Razak, sekali lagi timbul keresahan di kalangan masyarakat Cina di mana perkataan " matlamat akhir " dilihat bertujuan menghapus terus sekolah Cina. Pada tahun yang sama juga masyarakat Cina digemparkan dengan persetujuan Sekolah Tinggi Chung Ling di Pulau Pinang yang bersetuju menerima bantuan kerajaan dan bertukar menjadi Sekolah Jenis Kebangsaan. Laporan Rahman Talib 1961 sekali lagi mencetus bantahan kaum Cina kerana Fasal 21 (2) yang memberi kuasa kepada Menteri untuk menukar SJK kepada sekolah Kebangsaan pada waktu yang difikirkan sesuai sehingga menyebabkan Lim Lian Geok ditarik lesen mengajar dan Sijil Kerakyatannya. Bagaimanapun perjuangan Huatuan untuk menjadikan Bahasa Cina sebagai bahasa kebangsaan tamat pada 1967 apabila Akta Bahasa Kebangsaan dikuatkuasakan.

Ringkasnya kaum Cina akan berbuat apa saja bagi memastikan cita-cita mendaulatkan bahasa dan budaya mereka tercapai walaupun di pentas yang lain mereka mempersoalkan tentang ketidaksamaan dan pengwujudan satu Bangsa Malaysia yang bersatu sedangkan dalam masa yang sama mereka menolak usaha-usaha untuk mengintegrasikan seluruh kaum berlainan keturunan dan agama ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang nikmati bersama.

Berbanding kaum Cina di Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Singapura, kaum Cina dan India di negara ini jauh lebih bertuah. Peluang pendidikan terbuka luas kerana sekolah sekolah venakular dibantu dan dikembangkan.

Tidak hairanlah dalam sebuah negara yang hanya 26 juta penduduk terdapat lebih 1300 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dengan 650,000 pelajar, lebih 500 SJK Tamil dengan lebih 100,000 pelajar di mana hampir 2.5 juta yang rata-rata pelajar Melayu belajar dihampir 6000 sekolah. Mereka ini dipisahkan sejak dari awal peringkat pra sekolah hinggalah ke peringkat universiti di mana mereka akan mula berkenalan sebagai satu bangsa. Malah bagi pelajar kaum Cina, mereka boleh terus menyambung pelajaran ke universiti di Cina atau Taiwan tanpa melalui sistem pendidikan kebangsaan dengan mengikuti program-program di kolej-kolej seperti New Era, Southern College, Han Chiang College, atau MIA menerusi program "Twinning" untuk terus ke universiti berkenaan di negara negara tertentu. Dengan kelulusan dari SJK Cina mereka mampu mendapatkan ijazah dari IPTA tempatan tanpa memenuhi syarat kelulusan Bahasa Malaysia dengan memasuki program Twinning di kolej swasta yang mengadakan program kerjasama di bidang IT, Sains Komputer, Sebaran Am atau kursus lain seperti Perubatan dan Farmasi. Tidak hairanlah program anjuran kolej-kolej swasta seperti ini mengeluarkan graduan lebih ramai daripada IPTA sendiri. Ini menjadikan jurang pendidikan antara kaum lebih melebar. Ditambah pula dengan sistem meritokrasi yang dimulakan sejak 2002, bilangan pelajar Melayu terutama di bidang kritikal meanjadi semakin ketara.

Kepada kaum Cina pendidikan merupakan komoditi yang dijadikan alat tawar-menawar. Lazimnya apa saja yang di minta sering dipenuhi. Kalau ditahun 1967 mereka memperjuangkan Universiti Merdeka, 40 tahun kemudian mereka bukan sahaja mendapat Universiti TAR, malahan Kolej TAR dibiar terus beroperasi berbanding UITM - apabila diberi status universiti, ITM terus hilang. Namun begitu kepuasan sesetengah kaum bukan Melayu tidak pernah ada hadnya. Mereka akan terus menggugut dan jika lambat di tunaikan, mereka akan menarik sokongan dari BN dan membiarkan UMNO terkapai-kapai keseorangan. Malah kebelakangan ini mereka disokong kumpulan Melayu yang kemaruk kuasa hinggakan matlamat menghalalkan cara; kononnya berjuang di atas dasar kesamarataan tanpa mereka menyedari sedikit demi sedikit bangsa mereka yang dituduh meminggirkan kaum lainlah yang sebenarnya terpinggir.

Walau apa pun alasan yang di beri, lebih penting integrasi kaum dan perpaduan masyarakat sebagai tunggak pembentukan masyarakat yang gemilang. Tetapi tanpa pengorbanan dan keazaman politik dan pembabitan semua kaum, ia tidak mungkin tercapai dan akan tinggal sebagai harapan kosong, walaupun masing-masing bercakap tentang integrasi kaum dan cita-cita mewujudkan satu bangsa Malaysia yang lebih adil. Pokoknya, selagi pemimpin politik bersikap ego mempertahankan warisan budaya masing-masing, selama itulah masyakat negara ini terus terpisah.

Ada baiknya juga pengalaman di sekolah-sekolah swasta dijadikan model perpaduan kaum di mana integrasi kaum berada di tahap yang paling baik tanpa riak polarisasi. Walau apa pun alasan untuk menolak pandangan berani ini, yang jelasnya pemimpin politik bukan Melayu begitu sensitif dan terus melenting apabila apa yang mereka anggap sebagai "hak " disentuh.

Betapa sensitifnya kaum lain, begitu jugalah sensitifnya orang Melayu apabila hak mereka yang telah di persetujui bersama oleh pemimpin terdahulu disentuh dan di persoalkan secara terbuka tanpa segan silu. Ia menjadi lebih serius apabila pemimpin politik yang kemenangannya pun di kawasan majoriti Melayu bersikap demikian. Setidak-tidaknya janganlah menggigit tangan yang menyuap. Kepada bangsa Melayu : " kerbau di pegang pada tali, manusia berpegang pada janji ".


 

Roslan Latif

Presiden

Alumni Melayu Amerika Utara ( ALMA )


 


 


 


 

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home